Thursday, June 30, 2011

Ringkasan Rukun Usrah

Rukun Usrah adalah perkara yang perlu difahami dan ditegakkan di dalam Usrah yang dijalankan. Sekadar teori tentang rukun ini tanpa realisasi di dalam Usrah pasti mengurangkan kejayaan Usrah yang dijalankan. Oleh itu setiap Naqib dan ahli perlu sama-sama berusaha untuk memahaminya dan menghayatinya dalam diri mereka sebagai ahli-ahli Usrah. Penghayatan terhadap rukun ini perlu diamblil perhatian. Rukun-rukun Usrah ialah:


1)TAARUF
Dimaksudkan disini ialah setiap ahli saling kenal-mengenal di antara satu sama lain. Bukan sekadar kenal namanya sahaja tetapi mengenali ahli seperti pekerjaan, latarbelakang keluarga, pendidikan, pengalaman dan keluarganya. Dengan pengenalan begini akan lebih merapatkan hubungan dan membibitkan kasih sayang sesama mereka. Dengan kasih sayang ini melahirkan sifat bantu-membantu sesama mereka.


2)TAFAHUM

Persefahaman yang wujud di kalangan ahli usrah akan menghindarkan perasaan tidak baik seperti hasad dengki, cemburu, memandang rendah kepada orang lain, buruk sangka sesama ahli. Bila perasaan ini tiada, akan suburlah nasihat-menasihati dan tegur menegur di kalangan mereka dalam rangka mencari kebaikan sesama ahli. Perkongsian yang baik dalam semua perkara akan berjaya dilakukan dalam suasana yang saling faham-memahami.


3)TAKAFUL

Tolong-menolong di kalangan ahli Usrah dalam pelbagai keadaan yang memerlukan pertolongan. Sama ada pertolongan bersifat kebendaan, tenaga ataupun moral seperti doa dan semangat untuk sahabat-sahabat seusrah. Usrah yang hebat, ahlinya peka terhadap setiap perkara yang berlaku kepada ahli-ahli usrah yang lain. Inilah inti kepada iman dan sari kepada Ukhuwwah Islamiyah yang tulen.Program ziarah menziarahi bertanya khabar dan bantu-membantu ketika sahabat ditimpa kesusahan perlu dilakukan oleh setiap ahli.


من كان في حاجة أخيه كان الله في حاجته

Maksudnya: "Sesiapa yang telah memenuhi keperluan saudaranya Allah akan tunaikan keperluannya" (Bukhari & Muslim)

Menghayati Tujuan Usrah Pas

Setiap Naqib dan ahli perlu memahami tujuan Usrah yang mereka wujudkan. Kefahaman yang benar terhadap tujuan dan matlamat Usrah akan memudahkan perlaksanaannya dan melahirkan Usrah yang berjaya. Dia antara tujuannya ialah:

1)Usrah bertujuan mendidik hati-hati anggota Usrah supaya menjadi hamba-hamba Allah yang taatkan Allah swt dengan cara menghubungkan diri secara langsung dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah.

2)Melahirkan individu yang iltizam dengan akhlak al-Quran dan mempunyai sifat taqwa dalam diri dengan maksud mematuhi setiap perintah Allah dan tegahannya.

3)Menjadikan Rasulullah s.a.w dan parta sahabat sebagai ikutan dalam kehidupan seharian dengan melahirkan peribadi yang berfikir dan bertindak selaras dengan ajaran Allah dan RasulNya.

4)Menghasilkan peribadi mukmin yang ikhlas beramal kerana Allah dan hidupnya dekat dengan bimbingan Al-Quran dan Al Sunnah serta cintakan Islam dan berkorban untuk agama.

5)Melahirkan peribadi Muslim, keluarga Muslim, Masyarakat Muslim yang dibina hubungan ukhuwwah dan kasih sayang sesama ahli kerana Allah.

6)Menyuburkan budaya nasihat-menasihati,tegur menegur di kalangan anggota kerana Allah.

7)Medan berkesan untuk merangsang motivasi ahli agar terus istiqamah dengan fikrah Islam yang tulen,aqidah yang mantap yang menjadi teras kepada perjuangan Islam sehingga melahirkan a'milin yang iltizam, itqan, sabar dan tidak mengenal erti kecewa.

8)Saluran komunikasi yang berkesan untuk menyalurkan maklumat kepada semua ahli.

9)Dapat memahami peribadi ahli dengan lebih dekat yang membantu jamaah mengenal pasti bakat dan keupayaan mereka dalam melaksanakan sesuatu urusan atau amanah.

10)Melahirkan saff amilin, du'at,mujahid dan qiadah yang terlatih dan bersedia melaksanakan tugasan dakwah dan siasah dengan penuh persediaan dan kefahaman.

Monday, June 27, 2011

Pengertian Usrah Dalam Gerakan Islam

Usrah bermaksud keluarga. Rapatnya hubungan antara anggota usrah menyebabkan kadang-kadang lebih akrab daripada hubungan saudara sekeluarga. Manakala istilah yang dimaksudkan oleh gerakan Islam ialah sekumpulan individu Muslim yang beriman dengan Allah, berusaha untuk tolong menolong sesama mereka untuk memahami ajaran Islam. Mereka ini melakukan kerja-kerja Islam sebagai menyahut seruan Allah swt di dalam surah Al-Asr.


Maksudnya: Hendaklah kamu nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran.

Oleh itu Usrah dapat disimpulkan sebagai proses untuk mengikat hubungan yang lebih mantap di kalangan ahli jamaah sebagai persediaan dan latihan melakukan kerja Islam yang mencabar. Tegur-menegur antara sesama ahli dan nasihat menasihati adalah asas kekuatan jamaah. Kemanisan berjamaah akan terasa apabila perlaksanaanya menepati kehendak usrah.

Monday, June 13, 2011

Satu Cawangan Satu Usrah

Puchong: Bagi memantapkan tarbiyyah di kalangan ahli-ahli Pas Puchong, LTPP telah menetapkan setiap Cawangan mesti mewujudkan Usrah di peringkat cawangan masing-masing. Usrah mestilah dipimpin oleh seorang Naqib yang telah ditetapkan oleh LTPP dan mereka mestilah menghadiri Liqa' Nuqaba' sebulan sekali. LTTP menetapkan kekerapan Usrah secara mimima adalah sekali sebulan dan penambahan adalah dialu-alukan bergantung kemampuan ahli-ahli di cawangan.

Perbincangan Usrah perlulah mengandungi : Bacaan Mathurat, Alquran & Tafsir Al Hujurat, Buka Manhaj Taarif 1 & 2 dan Isu-isu semasa.

Sebarang kemusykilan boleh merujuk kepada Setiausaha LTPP iaitu Ust Ibrahim dan Ketua Unit Usrah Sdr Zamir.

Selamat Berusrah