Monday, November 16, 2009

ELAK TINDAKAN MENGUNDANG FITNAH-TUAN IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 7 Nov : Selain agama melarang membuat dan menyebarkan fitmah, tindakan dan perbuatan yang mengundang fitnah juga wajib dielakkan.Naib Presiden PAS Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tanggapan atau persepsi salah terhadap parti dan pimpinan mestilah dicegah supaya ianya tidak merebak menjadi besar dan merosakkan perjuangan parti itu sendiri.Justeru katanya lagi PAS mempunyai akhlak jemaah yang mesti dipelihara dan sebarang perselisihan pendapat mestilah dikemukakan melalui saluran yang sedia ada.
"Jangan emosi walaupun berselisih pendapat sehingga sahabat satu jemaah kita hentam. Kita ada saluran."Jangan kemukakan ketidak-puasan hati melalui media baru," katanya sewaktu menyampaikan ucapan di 'Seminar Memperkasa Parti', di Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar, dekat sini pagi tadi.
Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa PAS sebuah parti yang sentiasa terbuka kepada kritikan dan teguran.Tambahnya lagi, sebarang matlamat yang baik tidak menghalal cara atau perbuatan yang menyalahi agama atau dasar parti.Yang penting ialah untuk uruskan perbezaan pendapat dan bukannya 'melebarkan' lagi perbezaan pendapat yang sedia ada, kata Naib Presiden itu."Jangan gadai prinsip Islam. Nak menang tapi jangan gadai untuk dapatkan undi," katanya kepada lebih 1,000 peserta yang hadir.
Selain itu, beliau turut menasihati agar PAS dan pimpinan serta ahlinya tidak leka dengan pujian yang mengundang rebah malah para penceramah juga mesti memastikan hujah dan ceramah disampaikan bukan sekadar 'syok sendiri'."
Ceramah berjaya memperkukuhkan semangat antara kita tetapi belum tentu dapat menarik generasi baru yang lain," katanya.Selain itu, beliau juga yakin, sebarang masalah yang dihadapi parti dapat diurus dengan baik, sungguhpun acapkali menghadapi pelbagai cabaran dan fitnah.
"Setakat ini, PAS membuktikan tiada antara wakil rakyatnya yang lompat parti dan PAS juga terbukti berjaya dalam menguruskan masalah," katanya.Beliau sekali lagi menegaskan bahawa PAS mahu menjadi parti yang besar untuk mengambil alih kerajaan sedia ada dan oleh itu soal untuk berkerjasama dengan Umno tidak timbul sama sekali.
"Kita nak ganti Umno, bukannya bersama Umno."Akhir sekali yang penting ialah, kita mesti mendukung keputusan parti," katanya yang berucap 20 minit selepas dua ahli akademik, Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangasa (UIA) dan Dr Abu Hassan Hasbullah (Universiti Malaya) membentang hujah dan kajian mereka.

TOK GURU NIK AZIZ JADI MANGSA

1. Setelah mereka [ musuh ] berhempas pulas untuk membunuh karektor dan kewibawaan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang melalui senjata baru yang diberi nama persepsi , kini Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz pula menjadi mangsa mereka .
2. Mereka melihat keutuhan perjuangan Islam yang didokong oleh PAS sejak sekian lama adalah ditunjangi oleh ketokohan luar biasa 2 Tok Guru [ Nik Abd Aziz dan Hj. Abdul hadi ] yang bertaraf mursyid biarpun mereka berdua tidak maksum .
3. Keutuhan PAS sebagai sebuah wadah perjuangan Islam di dalam negara selama ini tiada siapa yang boleh menafikannya , sehinggalah akhir - akhir ini terdapat percubaan yang sangat ekstrim untuk melumpuhkannya dengan terlebih dahulu menjadikan kedua - dua Tok Guru sebagai sasaran awal direbahkan .
4. Sebelum ini kepimpinan Tok Guru Hj Abdul Hadi dipertikai teruk dengan membentuk satu persepsi yang buruk bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang lemah dan tidak berkeupayaan memimpin parti dengan menonjolkan beberapa kelemahan , sementara mereka menyembunyikan kelebihan dan kejayaan yang telah dicapai sepanjang kepimpinan beliau .
5. Tidak puas mereka mengkeronyok Tuan guru Hj. Abdul Hadi sebagai Presiden PAS dengan persepsi buruk yang mereka bentuk , kini mereka cuba pula untuk membentuk persepsi negatif guna membelasah Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz kononnya mengamalkan nepotisme dan rasuah dalam kepimpinannya .
6. Matlamat mereka hanyalah satu , iaitu membentuk persepsi buruk terhadap kedua - dua Tok Guru ini dan kemudiannya menjadikan ia sebagai liabiliti kepada parti , maka secara hormat atau biadab , kedua - dua Tok Guru ini mahu disingkirkan dari pengaruh dan kerusi kepimpinan mereka . Mereka mahu PAS bergolak dan lemah sejurus itu mereka boleh menarik nafas lega .
7. Terbaru mereka masih menyerang Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz setelah Tuan Guru menyatakan pendirian tegasnya bahawa beliau membenarkan SPRM menyiasat diri dan menantunya demikian juga satu tindakan tegas , bijak dan berhemah Tuan guru apabila membatalkan hasrat mengerjakan ibadah haji ekoran isu penajaan ibadah haji beliau menjadi polemik di media .
8. Integriti yang dipertahankan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz sejak 20 tahun memimpin negeri Kelantan meletakkan beliau senantiasa bersedia membuka pintu rumahnya 25 jam sehari bagi SPRM menyiasat kes rasuah jika ada . Juga sungguh besar pengorbanan Tuan guru yang sanggup membatalkan ibadah haji beliau di saat semua orang menaruh harapan tinggi untuk ke tanah suci , semata - mata kerana mahu menjaga nilai integriti yang dipertahankan selama ini . Bijak sungguh Tuan Guru mengurus persepsi buruk yang sengaja dicipta untuk menjatuhkan maruah [ air muka ] beliau sekaligus membuat tekanan untuk menyingkirkan beliau dan melemahkan parti yang dipimpinnya .
9. Hari ini mereka masih menyerang dan melebarkan ruang persepsi buruk yang sengaja mereka cipta dengan mengambil peluang atas keadaan yang ada , setelah mereka juga tahu bahawa Tuan Guru adalah seorang insan yang bertaqwa dan tidak mungkin mengamalkan rasuah . Tidak mudah mereka mahu melumpuhkan kewibawaan Tuan Guru dengan persepsi yang mereka bentuk kerana rakyat yakin Tuan Guru juga adalah seorang yang ikhlas memimpin negeri dan rakyat ke arah membangun bersama Islam .
10. Tegas saya nyatakan disini , bahawa kami pemuda - pemuda PAS seluruh negara , senantiasa bersama dengan kedua - dua Tok Guru [ Hj. Nik Abdul Aziz dan Hj. Abdul Hadi ] sekaligus menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan mereka sambil mengutuk sekeras - kerasnya sebarang percubaan untuk menjatuhkan mereka dengan cara yang tidak berhemah dan berakhlak.
Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Thursday, November 12, 2009

Tanggungjawab Harakah Islamiyah

Adapun secara terperincinya maka tanggungjawab kita kepada umat Islam ialah:

1. Sistem Pemerintahan Dalam Negeri.

Dengan wujudnya sistem ini akan terlaksanalah hukum-hakam sebagaimana yang dituntut dalam firman Allah:

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ
فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

Maksudnya:Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanya sanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq. (Surah Al-Maidah 5: Ayat 49)

2. Sistem Hubungan Antarabangsa.

Dengan wujudnya sistem ini akan terlaksanalah bentuk perhubungan sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدً

Maksudnya:Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Surah Al-Baqarah 2: Ayat 143)

3. Sistem Amali Dalam Kehakiman.

Sistem ini adalah bersumber dari firman Allah:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya:Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya
. (Surah Al-Nisa' 4: Ayat 65)

4. Sistem Pertahanan Dan Ketenteraan.

Dengan perlaksanaan sistem ini dapat digerakkan rakyat umum sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah:

انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya:Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). (Surah Al-Taubah 9: Ayat 41)

5. Sistem Ekonomi (Iqtisad).

Sistem ini bertujuan membebaskan kekayaan, harta-benda, negara dan individu-individu berdasarkan firman Allah:

وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ قِيَامًا

Maksudnya:Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kekamu. (Surah Al-Nisa' 4: Ayat 5)

6. Sistem Kebudayaan Dan Pelajaran.

Sistem ini adalah untuk menghapuskan kejahilan dan kebodohan selaras dengan perintah wahyu yang pertama dari Al-Quran:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

Maksudnya:"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan." (Surah Al-'Alaq 96: Ayat 1)

7. Sistem Kekeluargaan dan Rumah-tangga.

Sistem adalah untuk membentuk putera-puteri yang Muslim dan golongan dewasa Muslim yang melaksanakan perintah Allah dalam firman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala). (Surah At-Tahrim 66: Ayat 6)

8. Sistem Hidup Perseorangan.

Sistem ini adalah bertujuan menjadi pedoman hidup bagi individu secara khusus supaya kehidupannya berjaya mencapai maksud firman Allah:

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا

Maksudnya: "Sesungguhnya beruntunglah (berjayalah) sesiapa yang membersihkan dirinya." (Surah Asy-Syams 30: Ayat 9)

9. Menghidupkan roh atau semangat kejiwaan secara keseluruhan dalam setiap diri individu di kalangan ummah sama ada pemerintah ataupun rakyat kerana melaksanakan tuntutan Allah Taala:

وَابْتَغِ فِيمَا ءَاتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ
وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya:Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. (Surah Al-Qasas 28; Ayat 77)

10. Akhirnya kita mahu supaya lahirnya individu muslim, rumah tangga muslim, rakyat muslim dan pemerintahan Islam. Kita ingin membina sebuah negara (daulah) yang mampu memimpin negara-negara Islam yang lain, sebuah negara merangkumi seluruh umat Islam, sebuah negara yang dapat mengembalikan keagungan mereka, mengembalikan tanah air mereka yang telah hilang dan mengembalikan tanah air mereka yang dirampas dan di tawan. Selain dari peranan dan tanggungjawab tadi, kita mahu supaya Daulah Islamiyah ini mengepalai pembawa panji-panji jihad dan dakwah ke seluruh alam sehingga dunia ini dapat mengecap kebahagiaan dari ajaran Islam.

Peranan, Ciri-ciri dan Persediaan Harakah Islamiah

Peranan Harakah Islamiyah ialah membawa manusia supaya mengabdikan diri kepada Allah sama ada secara individu atau jama'ah dengan berusaha dan bekerja untuk menegakkan masyarakat Islam yang menjadikan Kitabullah (Al-Qur'an) dan Sunnah Rasulullah s.a.w sebagai sumber hukum dan pengajarannya.

Harakah Islamiyah ialah satu tanzim 'alami yang merangkumi para petugas dalam arena dakwah di seluruh pelosok muka bumi. Untuk mencapai matlamat di atas, Harakah Islamiyah menggunakan dakwah Islamiyah yang bersih lagi murni, sesuai dengan permasalahan dan tuntutan masa kini dan akan datang. Termasuk dalam cara ini ialah mengajak masyarakat supaya turut serta di dalam gerakan Islam dan menyusun mereka dalam gerakan tersebut. Dalam persediaannya pula mereka mestilah dididik supaya meyakini perjuangan ini supaya dengan keyakinan itu mereka akan bekerja untuk Islam dan berjihad di dalamnya.

Di antara tuntutan yang dimaksudkan ialah menghapuskan penjajahan dan saki baki pemikiran dan falsafahnya, sama ada penjajah timur mahupun barat, sehingga umat Islam kembali semula kepada keperibadiannya yang asal dan bebas.

Sejak hari-hari awalnya Harakah Islamiyah telah memberi perhatian berat dalam urusan membersihkan ajaran Islam dari saki baki bidaah dan khurafat dan mengemukakan Islam kepada orang ramai dalam bentuknya yang murni sesuai dengan keagungannya dan ketinggiannya.

Harakah Islamiyah meyakini bahawa hukum-hukum Islam dan ajarannya bersifat sempurna dan menyeluruh, mampu menyusun seluruh urusan manusia di segala bidang.

Harakah Islamiyah menganggap bahawa kaedah asasi yang menjadi tapak tertegaknya Islam di sepanjang sejarah manusia ialah kaedah "Lailaha illah" (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) iaitu mengesakan Allah dalam uluhiyyah (ketundukan dan kepatuhan) dan hakimiyah (kehakiman dan perundangan) dengan pengertian mengesakan Allah di sudut 'akidah di dalam hati, di sudut ibadah terjelma di dalam syiar-syiar dan di sudut syariat pula terjelma di dalam realiti kehidupan.

Harakah Islamyiah juga meyakini bahawa Islam adalah kekuatan asasi untuk membangunkan umat Islam, kekuatan asasi untuk menyelamatkan seluruh dunia, kekuatan asasi untuk membebaskan manusia dari belenggu penindasan taghut dan para pelaku kezaliman sehingga tidak ada lagi fitnah dan agama seluruhnya hanya untuk Allah.

Harakah Islamyiah berpendapat bahawa menerima dan mengamalkan sistem kapitalis, sosialisme, komunisme dan lain-lain sistem ciptaan manusia merupakan satu kekufuran terhadap Islam yang agung, menderhakai Allah pemilik alam semesta, perjalanan hidup yang tidak dipandukan oleh petunjuk Ilahi, meraba-raba dalam keadaan yang tidak memberikan apa-apa faedah, menghabiskan tenaga-upaya dan masa. Allah berfirman:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهَ وَ هُو فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينُ َ

Maksudnya: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Surah Al-'Imran 3: Ayat 85)

Sebenarnya Al-Imam Hasan Al-Banna rahimahullah (semoga Allah meredainya) telah menyimpulkan tentang peranan Harakah Islamiyah dengan berkata:

"Peranan kita secara umum ialah tegak berdiri menghadapi serangan arus taghut yang terdiri dari tamadun kebendaan, peradaban yang mementingkan kemewahan dan nafsu-syahwat, yang telah meratah bangsa-bangsa umat Islam. Tamadun ini telah menjauhkan umat dengan kepimpinan Nabi s.a.w dan petunjuk Al-Quran, ia telah menghalang alam jagat ini daripada cahaya petunjuk dan menyebabkan umat Islam mundur terkebelakang beratus-ratus tahun. Peranan ini mestilah berterusan sehinggalah bumi kita bebas dari belenggunya dan bangsa kita terselamat dari balanya. Dan peranan kita bukanlah terhad di sini sahaja malah kita akan menghadapi dan memerangi peradaban tersebut di bumi tempat kelahirannya sehingga seluruh alam ini akan melaungkan nama Nabi Muhammad s.a.w sehingga manusia semuanya meyakini Al-Quran dan naungan Islam akan meneduhi alam. Di saat inilah tercapainya cita-cita seorang muslim, maka di kala itu tiada lagi fitnah ke atas agama ini dan jadilah agama ini semata-mata bagi Allah.
Firman Allah:

فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ(4)بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ(5)

Maksudnya:Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira; 5- Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Rum 30: Ayat 4-5)
Inilah peranan dan tanggungjawab kita secara umum.

Monday, October 26, 2009

Sistem Pemerintahan Di Dalam Islam 1

Pendahuluan
Kedudukan Sistem Pemerintahan di dalam Islam menjadi mukaddimah penting di dalam perbincangan tulisan ini. Ini kerana, sejak beberapa kurun yang lampau sehingga kejatuhan Khilafah Othmaniah Turki menyebabkan ramai manusia memahami pengertian agama hanya berhubung denngan rukun Islam yang lima iaitu mengucap dua kalimah shahadah, solat,puasa,zakat dan haji. Malahan perlaksanaan rukun-rukun ini pun dibiarkan kepada individu Muslim sendiri. Masyarakat tidak ada kaitan sama sekali dalam mengawasi individu dalam melaksanakan rukun-rukun tersebut. Dengan maksud lain seolah-olah rukun-rukun itu langsung tidak mempunyai sifat kemasyarakatan biarpun dalam hal zakat yang sangat nyata memerlukan campurtangan masyarakat.
Ada di antara sistem-sistem kemasyarakatan , di dalam kehidupan orang-orang Islam telah cuba mengambil bentuk agama. Perlu dilihat, terdapat perbezaan besar di antara 'memberi bentuk agama' kepada sistem berkenaan atau " tegaknya sistem berkenaan di atas asas agama". Sistem Pemerintahan Islam sentiasa cuba mengambil bentuk agama. Pandangan saya,sistem pemerintahan Islam dalam masyarakat Islam selapas zaman khalifah Ar-Rashidin adalah mengambil bentuk agama dan bukan diasaskan kepada dasar agama.Kedua-dua ini mempunyai perbezaaan yang besar.
Percubaan mencelupkan bentuk agama bagi sesuatu sistem tanpa mendasarkan sistem itu ke atas asas-asas dan prinsip-prinsip agama bermakna menggunakan agama untuk berkhidmat kepada sistem berkenaan, bukan sistem itu digunakan untuk berkhidmat kepada agama.

Pengalaman 'Orang Lama' PAS

Hassan, dikenang pejuang terbilang


Azamin Amin Sat Oct 17, 09 10:23:48 am MYT
Belum sempat pun pejuang-pejuang Sungai Manik tiba di Kuala Selangor untuk turun 'bermandi darah' di Kuala Lumpur, dia sudah terpacul tetap menantikan kedatangan mereka. Dan ketika berdiri di jeti Feri Kuala Selangor dengan badan tegap laksana panglima, dia secara tenang meminta para pejuang itu pulang semula ke Perak.

Niatnya hanya satu, mengelakkan lebih banyak nyawa yang terbunuh dan tidak mahu Sungai Klang bertukar merah. Tanpa perlu berpencak, atau menghunus sunding yang tersisip di pinggangnya,dia bersuara penuh tertib dan tegas gayanya.

Tidak ada satu biji mata pun melainkan dia, yang mampu berdepan para pejuang yang digeruni itu. Bimbang suasana akan lebih kecamuk Pengerusi Majlis Gerakan Negara ketika tragedi 13 Mei 1969, Allahyarham Tun Abdul Razak secara peribadi meminta dia menahan pendekar-pendekar dari kumpulan "parang terbang dan selempang merah" untuk mara ke ibu kota.

Dek kerana menghormati ayahnya yang pernah terlibat dan bertempur dalam beberapa siri dengan peperangan di Sungai Manik pada zaman dulu, para pejuang yang sedang mengelodak jiwa dan amarah itu akhirnya akur dengan permintaannya lalu kembali ke kampung halaman masing-masing.

Namanya cukup tersohor dan hebat di mata kawan dan lawan. Malah ketika negara dilanda krisis Tun Razak sendiri menghubunginya setiap hari . Sehari kadang-kadang sampai dua kali!
Kini nama Hassan Shukri yang selalu meniti dibibir pejuang dan penyokong PAS selama ini agak kelam dan menyepi. Entah mengapa, bekas Timbalan Presiden PAS yang juga antara pejuang terawal parti tertua di Malaysia ini umpama membawa diri. Namun rajuknya tidak kemana kerana batang tubuhnya masih sebati dengan perjuangan ini.

Hassan Shukri yang dipanggil 'Ustaz' masih dekat di hati kebanyakan ahli PAS malah kelibat beliau sering kelihatan, sekiranya ada acara rasmi dan majlis ilmu yang dianjurkan di Markas PAS Taman Melewar, Gombak. Kadang-kadang tanpa segan, beliau menebas dan mencangkul di depan Markas walaupun para pemimpin dan ahli PAS sedang menyertai aktiviti di situ.

Baginya kerja-kerja kebun dan kampung sudah berakar umbi di benaknya apatah lagi kediaman dan lamannya pula bersebelahan markas itu. Markas yang dahulunya dikenali sebagai 'Headquartes' pejabat PAS dan Pusat Tarbiyah sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut Kuala Lumpur begitu sinonim dengan Hassan Shukri.

Masakan tidak idea penubuhan Markas itu, datang dari hati nurani ikhlasnya. Bermula dengan modal RM20,000 beliau membeli sebidang tanah di situ, sebagai tapak awal untuk membina Markas. Kemudian beliau berbincang pula dengan Yang Dipertua PAS Allahyarham Yusuf Rawa, Pesuruhjaya PAS Perlis Ustaz Hashim Jasin dan Ustaz Nakhaei untuk mereka sama-sama membeli tanah dengan harga sekitar RM26,000 bagi meluaskan kawasan Markas sekitar tahun 1982.

Selain menerima sumbangan wang, Markas itu turut didirikan secara bergotong royong pada peringkat awalnya. Kemudian dengan kebijaksanaan Hassan, beliau mengarahkan setiap satu cawangan PAS menyiapkan satu tiang bangunan tanpa menggunakan jengkaut untuk menggali lubang tapak asas.

Semenjak itu, Markas PAS Taman Melewar telah menjadi tempat persinggahan atau bermalam paling murah di Kuala Lumpur kepada orang ramai yang mahu melancong atau berurusan di ibu kota malah hari minggu atau cuti sekolah, banyak bas persiaran serta bas sekolah singgah dan memenuhi laman markas itu.

Lebih menarik ianya menjadi persinggahan paling penting kepada rombongan haji sebelum melapor diri di Lapangan Antarabangsa Subang sebelum wujudnya KLIA dan Pusat Transit Tabung Haji Kelana Jaya.

Pejuang Islam tidak akan susah...

Cetusan idea Hassan itu kemudiannya menjadi buah mulut orang dan menjadikan PAS terkenal di pelusuk negara. Ya, Hassan dikenali sebagai tokoh yang membangunkan Markas PAS dan ramai yang tidak tahu, beliau adalah individu penting di sebalik perlembagaan PAS dan merupakan 'buku undang-undang PAS' yang masih hidup serta sentiasa menjadi rujukan.

Menceritakan kisah penyertaannya secara tidak rasmi dengan PAS sewaktu berusia 14 tahun pada 1951; Hassan memberitahu tindakannya itu didorong oleh satu peristiwa unik yang mencetuskan semangatnya untuk mendekati PAS.

Walaupun usia telah menjangkau 70an', Hassan masih kelihatan gagah dan berupaya mengingati satu persatu sejarahnya bersama PAS dan wawancara yang berlangsung hampir dua jam itu, terasa begitu singkat rasanya memandangkan kepetahan dan nada selorohnya, membuatkan saya pegun dan asyik dengan kisah lamanya.

"Tulislah dan saya suka bila orang mahu tahu sejarah saya dan PAS.
"Bukan apa, setelah saya tiada nanti, apa yang anda tulis itu akan jadi satu dokumentasi sejarah," katanya tersenyum semula.Mengakhiri perbualan yang 'berlangsung' di kediamannya sendiri baru-baru ini. Hassan sempat menyuntik semangat kepada ahli-ahli PAS seluruh negara supaya sentiasa mengukuhkan perjuangan dan menolak sama sekali fikiran jumud bahawa jika bersama PAS, mereka akan menemui kesukaran dan kepayahan hidup.

"Percayalah...sesiapa yang memperjuangkan Islam, dia tidak akan susah. Mungkin tidak kaya tetapi tidak ada yang susah atau tidak makan...Saya sendiri tidak pernah rasa gaji besar tetapi kehidupan saya tidak susah dan alhamdulillah makin bertambah baik.

"Bagi pejuang Islam, apa jua cabaran dan dugaan akhirnya Allah akan tolong juga dan bantu kita untuk teruskan kehidupan...," katanya sambil mecebiskan nasihat kepada pemimpin agar sentiasa merapatkan saf antara satu sama lain termasuk dengan golongan bawahan, supaya parti akan terus kukuh, disegani dan bertambah kuat di masa mendatang.(dipetik dari Harakahdaily)

Thursday, October 22, 2009

Kalam Pengerusi

Assalamualaikum wrahmatullah
Setinggi kesyukuran kepada Allah swt yang memberikan kelapangan dan kemampuan untuk mewujudkan laman blog ini. Amat besar harapan agar ia mampu menyempurnakan pengisian Tarbiyyah di kalangan ahli-ahli gerakan Islam amnya dan ahli-ahli Pas di Kawasan Puchong khususnya.
Objektif utama blog ini ialah :
1)Menjadi sumber rujukan untuk bahan-bahan Tarbiyyah yang diperlukan oleh ahli-ahli Pas
2)Menjadi medium pertukaran idea dan pandangan dalam hal berkaitan Islam
3)Menjadi ruang teguran dan nasihat sesama ahli dan pimpinan dengan cara yang mulia,
Semoga moderator akan sentiasa lapang untuk mengupdate blog ini pada masa akan datang
Allah Akbar ! Allahu Akbar